Home Ekonomi Bank Rakyat nilai semua peluang

Bank Rakyat nilai semua peluang

Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh (kanan) bersama Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid (kiri) mengacau bubur lambuk pada Majlis Pautan Ramadan, Kacau Bubur Lambuk di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat melihat semua peluang untuk mengukuhkan kedudukannya dan memberi lebih nilai kepada para pemegang saham bank koperasi tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh berkata, buat masa sekarang, fokus bank tersebut adalah kepada pasaran domestik bagaimanapun tidak menolak untuk meneroka pasaran antarabangsa sekiranya mampu memberikan mereka pulangan pelaburan yang baik.

“Semasa program transformasi ini, semuanya boleh jadi tetapi fokus kami ketika ini adalah pasaran domestik.

“Namun kami tidak menolak peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa sekiranya mampu memberikan ROI (pulangan pelaburan) yang mantap,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program Pautan Ramadan-Kacau Bubur Lambuk Bank Rakyat 2017 di sini hari ini.

Awal bulan lalu Bank Rakyat mengumumkan dividen tunai sebanyak 15 peratus berjumlah RM450 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, meningkat berbanding 13 peratus pada tahun kewangan 2015.

Dalam pada itu, Shukry turut enggan untuk mengulas mengenai ura-ura pengambilan alih bank tersebut oleh beberapa institusi termasuk Permodalan Nasional Bhd.

“Saya tidak mahu komen.

“Awak tanya si penulis yang menulis berita tersebut,” katanya yang turut enggan mengesahkan sama ada berlaku rundingan atau pernah menerima sebarang kertas cadangan mengenai perkara itu sebelum ini. – MalaysiaGazette