GUA MUSANG – Sebuah bas ekspres Transnasional terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Chiku 1, di sini awal pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu hanya menyebabkan pemandu bas ekpress tersebut, Nik Hasan Mahmud, 47, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang manakala 14 penumpangnya terselamat.
Difahamkan kemalangan itu berlaku apabila bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Krai itu terbabas memasuki laluan ke kanan jalan dan bergesel dengan sebuah treler dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dalam masa yang sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang berada di belakang bas itu tidak sempat mengelak.
“Toyota Estima yang berada di belakang bas turut terlibat kerana tidak dapat mengelak lalu melanggar treler yang telah terbabas ke kanan jalan.
“Bas terbabit terbabas ke dalam cerun dengan ketinggian kira-kira 10 meter dan mengakibatkan pemandunya cedera,” katanya.
Pemandu serta penumpang lori serta MPV itu dikatakan tidak mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette