KUALA LUMPUR – Pas digesa supaya menyemak kembali keputusan untuk tidak bersama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana, langkah parti Islam itu yang mahu meletakkan calon bagi pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14 hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Mahfuz Omar.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, dengan menyertai PH sahaja ia menjadi komposisi pembangkang akan diperkukuhkan sekaligus mengambil alih kuasa pemerintahan negara dari UMNO dan BN.
“Rakyat mahukan kuasa politik baru dimartabatkan dengan mengalahkan UMNO, BN dan rakyat juga tidak akan membuang masa serta tenaga untuk mengundi Pas yang hanya sekadar berminat bertanding 80 ke 100 kerusi serta menyasarkan kemenangan 40 kerusi Parlimen.
“Ia sudah pasti tidak dapat membentuk kerajaan kerana masyarakat umum telah memahami bahawa untuk membentuk kerajaan mesti memenangi 112 kerusi dari 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, beliau sependapat dengan Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Samad yang tidak mahu melihat Pas kembali menjadi perigi buta.
Katanya, beliau berduka kerana Pas sedang berhadapan dengan kesan dari kesilapan memutuskan hubungan terhadap DAP dan PKR namun kekal dalam kerajaan Selangor dan sanggup berketuakan menteri besar dari parti PKR yang mereka dakwa menentang agenda Islam.
Ujarnya, oleh yang demikian, berdasarkan congakan ‘ilmu hisab’ politik adalah sukar untuk Pas berada di luar ‘perigi buta’ selepas PRU-14 nanti sekiranya Pas kekal dengan sikap bersendirian. – MalaysiaGazette