Home Nasional Tingkatkan produktiviti, gandakan ganjaran bulan Ramadan

Tingkatkan produktiviti, gandakan ganjaran bulan Ramadan

PUTRAJAYA – Persekitaran kerja yang kondusif dilihat mampu meningkatkan produktiviti kerja semua penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain kedatangan bulan Ramadan yang mulia, penjawat awam juga disaran menggandakan ganjaran pahala dengan melakukan kerja lebih ikhlas dan lebih bersemangat.

“Seperti mana yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, selain perlu menyokong dasar kerajaan penjawat awam perlu menjalinkan kerjasama dengan bahagian-bahagian lain menerusi pandangan yang lebih meluas,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka supaya melakukan kerja dengan baik sepanjang Ramadan ini dan seterusnya pada masa akan datang.

“Kerja adalah satu ibadah, justeru ambillah peluang melipat gandakan perkhidmatan di bulan Ramadan ini,” kata Azalina.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada majlis berbuka puasa atau iftar bersama pegawai dan kakitangan daripada 12 agensi dan jabatan yang berada di bawah tanggungjawab kementeriannya di Putrajaya malam tadi.

Sementara itu, bagi meringankan bebanan staf di Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Azalina bermurah hati menghulurkan sumbangan peribadi kepada mereka bagi menyambut kedatangan Aidilfitri bulan depan.

Seramai 36 individu menerima sumbangan tersebut terdiri daripada mereka yang memerlukan berikutan masalah kewangan selain mempunyai ahli keluarga yang mengalami penyakit kronik dan orang kurang upaya.

Majlis Iftar tersebut diadakan di BHEUU, dihadiri kira-kira 400 orang serta pengamal media.

Menurut Azalina, majlis tersebut bukan sahaja mengeratkan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan pelbagai agensi serta jabatan malah sekaligus mewujudkan suasana kerja yang harmoni.

Turut hadir Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Abdul Jalil Marzuki, serta ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman, Parlimen Malaysia, Biro Tatanegara, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan dan Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri serta pihak media. – Malaysia Gazette