KUALA LUMPUR – Seramai 300 anak yatim, ibu tunggal diraikan syarikat pengangkutan bas, Gemba Trans and Tours Sdn. Bhd. dalam satu majlis berbuka puasa di ibu negara hari ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Mohamad Nazri Sheikh Osman berkata majlis seumpamanya ini turut meraikan 14 buah tahfiz seluruh Kuala Lumpur.
“Majlis ini untuk meraikan golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim dan ibu tunggal. Ini adalah usaha kami untuk memastikan golongan seperti ini turut merasai kemeriahan sambutan Ramadan.
“Niat kami adalah untuk meraikan golongan ini sahaja. Golongan seperti ini sangat memerlukan bantuan,” katanya dalam majlis berkenaan.
Kali keenam diadakan, ia turut mengagihkan hamper dan barangan keperluan dapur kepada yang memerlukan. -MalaysiaGazette.