Home Nasional Dua dipenjara gagal bayar denda miliki kepala kambing gurun

Dua dipenjara gagal bayar denda miliki kepala kambing gurun

Datuk Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan telah dijatuhkan hukuman denda RM300,000
atau enam bulan penjara kerana kesalahan memiliki kepala dan bahagian kambing gurun
tanpa permit khas.

Mereka berusia 42 dan 51 tahun itu ditangkap selepas pemeriksaan dilakukan ke atas
kenderaan pacuan empat roda di kawasan Hutan Simpan Tekai, Tembeling, Pahang pada 27 Mac lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kedua-dua tertuduh
telah didakwa di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memiliki sejenis hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta 716 tanpa permit khas.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM100,000
dan tidak lebih daripada RM500,000 dan dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima
tahun bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dijalankan di Mahkamah Sesyen Temerloh Bentong di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Abdul Kadir berkata, kedua-dua tertuduh gagal membuat bayaran dan dikenakan penjara dua tahun atas setiap kesalahan bagi setiap orang.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Munirah Zainol Abidin dan
dibantu oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Mohamad Zabani Ariffin.

Keputusan hukuman ini merupakan nilai tertinggi yang pernah direkodkan di bawah
Akta 716 bagi Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia setakat ini.

Sehubungan itu, Jabatan Perhilitan mengingatkan orang awam terutama yang berminat
menjalankan aktiviti berkaitan hidupan liar agar mematuhi undang-undang yang dikuatkuasa dan merujuk jabatan itu terlebih dahulu berkaitan keperluan mendapatkan lesen, permit dan permit khas hidupan liar.

Kepada individu yang masih menyimpan atau memiliki hidupan liar secara haram tanpa suatu dokumen yang sah daripada Jabatan Perhilitan menasihatkan agar tampil membuat serahan dan memberi kerjasama sebelum tindakan penguatkuasaan diambil, katanya. – MalaysiaGazette