Home Nasional Jenazah Zulfarhan Osman selamat dikebumi

Jenazah Zulfarhan Osman selamat dikebumi

Suasana pilu di tanah perkuburan selepas jenazah Zulfarhan Osman Zulkarnain dikebumikan. Gambar sumber media sosial.
JOHOR BAHRU – Jenazah Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dengan kesan lebam dan melecur di badan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini, pada kira-kira 9.30 malam ini.

Jenazah pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu tiba di tanah perkuburan dengan menaiki van jenazah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada kira-kira 9.15 malam.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi, Selangor, petang tadi sebelum disembahyangkan sekali lagi di Masjid Jamek Kampung Kurnia, di sini, selepas solat Isyak.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri lebih 100 orang termasuk anggota keluarga dan kenalan Allahyarham Zulfarhan Osman.

Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang, 10 malam semalam dengan kesan lebam dan melecur di badan.

Kematiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis telah menahan reman 36 penuntut UPNM dan UNITEN selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

— BERNAMA