Home Nasional Kesihatan ayahanda baik – Pemangku Raja Pahang

Kesihatan ayahanda baik – Pemangku Raja Pahang

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah
TEMERLOH – Tahap kesihatan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berada dalam keadaan yang baik walaupun usianya semakin meningkat, titah anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdullah bertitah baginda telah menghadap ayahandanya petang semalam sebaik baginda (Tengku Abdullah) dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di ibu negara selepas menjalani rawatan kecederaan lama di buku lalinya.

“Saya sendiri yang masuk hospital sedangkan sultan sihat. Saya pula yang tidak sihat,” titah baginda semasa menyampaikan salam ayahandanya pada Majlis Perasmian Masjid Baharu, Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan yang Memerlukan dan Berbuka Puasa di Kampung Ketam di sini, semalam.

Turut berkenan mencemar duli ke majlis itu ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan kehadiran Tengku Abdullah adalah kemunculan pertama baginda selepas dirawat selama dua minggu di hospital.

Tengku Abdullah bertitah masalah kecederaan lama di buku lalinya berulang, meskipun telah menjalani pembedahan kecil di bahagian itu pada 15 April lalu dan berada di hospital selama seminggu.

“Saya hendak nasihatkan orang muda kerana kecederaan saya (kali ini) adalah kerana saya bukan engkar, tetapi tidak mendengar nasihat doktor seratus peratus. Bila ada kecederaan, ingat dan ikut nasihat doktor sepenuhnya,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah kecederaan itu adalah berpunca daripada kecederaan lama akibat bermain bola sepak semasa muda, menyebabkan baginda menasihatkan mereka yang meminati sukan itu untuk lebih berwaspada jika tercedera.

“Bola sepak banyak beri kecederaan kepada saya… di kepala, kaki, hati dan tangan. Saya ingatkan orang muda jika ada kecederaan, ikut nasihat doktor dan beri rehat secukupnya kerana bila tua, kecederaan ini boleh berulang dan ambil masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya,” titah baginda.

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu bertitah sepanjang dua minggu ‘berkampung semula di hospital’, baginda tidak dibenarkan untuk selalu bergerak dan berjalan jauh, menyebabkan baginda hanya boleh mendengar kata doktor dan isteri, Tunku Azizah Aminah Maimunah.

“Sebab itu, saya teruja hendak kata terima kasih pada isteri saya, warga hospital dan keluarga saya yang banyak beri semangat serta kepada mereka yang hadir melawat dan mendoakan saya,” titah baginda.

Tengku Abdullah juga bertitah kecederaan itu mungkin menyebabkan baginda perlu mengurangkan lawatan ke semua daerah di Pahang sempena bulan Ramadan, yang sudah menjadi kelaziman untuk baginda berbuka puasa bersama rakyat setiap tahun.

Bagaimanapun, Tengku Abdullah memberi jaminan bahawa baginda akan meneruskan amalan berjumpa dengan rakyat dan kembali aktif selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada doktor baginda, walaupun selepas berakhir bulan Ramadan.

“Kalaulah ada daerah yang rasa terpinggir, itu bukan niat saya. Saya akan hadir apabila saya pulih 100 peratus. Walaupun saya jauh di mata, tetapi rakyat tetap berada dekat di hati saya,” titah baginda.

— BERNAMA