KUALA LUMPUR – Hasil perkongsian maklumat risikan melibatkan tiga agensi penguatkuasa dadah antarabangsa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan dua sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini dengan nilai rampasan bernilai RM2.28 juta.
Timbalan Komander Special Tactical Intelligence Narcotics Group (STING), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, SAC Arjunaidi Mohamed berkata, tiga agensi tersebut adalah Criminal Directorate Of Togo National Police, Police Of Narcotics Suppression Bureau Thailand dan South African Narcotics Enforcement Bureau.
“Hubungan kerjasama masyarakat setempat khususnya dengan jabatan siasatan jenayah narkotik dapat memberikan impak yang besar kepada sindiket penyeledupan dan pengedaran dadah yang cuba menjalankan aktiviti tersebut di negara ini.
“STING telah melancarkan dua operasi yang berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor,” kata Arjunaidi dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Kuala Lumpur pagi tadi.
Operasi pertama bermula 31 Mei lalu dengan dua serbuan di sekitar Dang Wangi berjaya menahan tiga ahli sindiket dengan merampas dadah disyaki syabu seberat 20.4 kilogram bernilai RM1.43 juta.
Dua individu berkenaan adalah terdiri daripada dua lelaki India tempatan berumur 21 dan 33 tahun manakala seorang lagi adalah lelaki warganegara India, 37 tahun.
“Operasi kedua juga 31 Mei, STING menjalankan satu serbuan di sekitar kawasan KLIA, Sepang dengan berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun yang diupah menjadi ‘keldai dadah’.
“Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas sejumlah dadah disyaki kokain seberat 3.3 kilogram dibungkus seperti coklat sebanyak 181 kapsul bernilai RM850,000 beserta wang tunai RM305,” katanya.
Kesemua mereka yang ditahan direman selama enam hari sehingga 6 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Untuk rekod, sejak 1 Januari sehingga 30 Mei lalu, JSJN telah berjaya membuat rampasan dadah berjumlah RM99.64 juta dengan nilai sitaan harta sebanyak RM64.15 juta.
Jumlah tangkapan keseluruhan pula adalah 78,554 orang melibatkan 75,274 warga tempatan dan bakinya warga asing. – MalaysiaGazette