Home Nasional Cuepacs harap bonus akhir tahun

Cuepacs harap bonus akhir tahun

Azih Muda
Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Bantuan Khas Kewangan yang diberikan oleh kerajaan sempena hari raya bukan yang terakhir untuk tahun ini.

Sebaliknya, Cuepacs menaruh harapan kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan pada hujung tahun ini bagi meringankan penjawat awam yang berpendapatan kecil untuk membuat persediaan sesi persekolahan baru tahun depan.

Katanya, kerajaan selalunya memberi bonus kepada penjawat awam pada akhir tahun dan pengumumannya dibuat dalam bajet.

“Cuepacs berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi bantuan kewangan kepada 1.6 juta penjawat awam walaupun nilainya sama seperti tahun lalu.

“Bagi saya, ini rezeki dan berharap dengan bantuan itu dapat meringankan beban perbelajaan penjawat-penjawat awam menjelang Hari Raya,” Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda kepada MalaysiaGazette.

Azih berkata, Cuepacs menghargai keprihatinan Datuk Seri Najib Razak terhadap penjawat awam tetapi berharap jumlah bantuan itu dapat dinaikkan jika keadaan ekonomi negara kembali kukuh.

Cuepacs, katanya, tidak bertujuan untuk membebankan kerajaan tetapi perjuangan itu untuk memastikan penjawat-penjawat awam bawahan yang bilangannya kira-kira 700,000 orang dapat menampung kehidupan memandangkan kos sara hidup cukup tinggi.

Semalam kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak
RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam dan RM250 kepada 775,000 pesara sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017.

Pembayaran melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion itu akan dibuat sebelum 9 Jun 2017. – MalaysiaGazette