KUALA LUMPUR – Polis masih dalam proses mengambil keterangan doktor yang merawat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai didera bagi membolehkan siasatan menyeluruh dibuat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, hanya 36 penuntut berusia antara 20 dan 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian berkenaan dan kami dalam proses mengambil keterangan doktor terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang, 10 malam kelmarin dengan kesan lebam dan melecur pada badan.
Kematiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis mereman 36 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
— BERNAMA