Home Nasional Tubuh jawatankuasa siasat kematian pelajar UPNM – Lam Thye

Tubuh jawatankuasa siasat kematian pelajar UPNM – Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi digesa agar mewujudkan jawatankuasa bagi menyiasat kes kematian seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini pada Khamis lepas.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejadian buli di institusi pengajian tinggi itu perlu diberi perhatian serius dan langkah pencegahan harus segera diambil bagi memastikan insiden seumpamanya tidak berulang.

“Kejadian ini tidak boleh diterima dan saya berharap agar pihak kementerian dapat mewujudkan jawatankuasa untuk menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku di sebuah universiti.

“Lebih malang ia berlaku di sebuah universiti tentera di mana kita mengharapkan standard tinggi dalam aspek disiplin dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kejdian itu, Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yabg merupakan penuntut tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Elektrik meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur di badan dipercayai akibat didera.

Lee berkata kementerian juga perlu menyiasat bagaimana kejadian melampau itu boleh berlaku tanpa pengetahuan pihak universiti sedangkan mangsa mengalami kecederaan teruk.

“Mereka yang dipertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar telah gagal dalam menjalankan tugasnya. Justeru saya menyeru tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian buli ini termasuk menggantung pembelajaran atau membuang pelajar yang didapati bersalah,” katanya.

Lee berkata keganasan terhadap pelajar tidak boleh diterima dalam apa jua bentuk dan anggapan bahawa ia adalah perkara biasa mesti diubah.

— BERNAMA