Home Nasional Lelaki ditahan dipercayai muat naik kenyataan jelik terhadap PDRM

Lelaki ditahan dipercayai muat naik kenyataan jelik terhadap PDRM

JOHOR BAHRU — Polis menahan seorang lelaki dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebook.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan pada 4.45 petang Sabtu di Mata Ayer, Perlis hasil tindakan polis kontinjen Perlis.

“Terdahulu, polis Johor menerima satu laporan berkenaan satu kenyataan jelik yang dimuat naik dalam Facebook terhadap PDRM pada 1.30 tengah hari, semalam.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut serta mengesan individu yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau berkata PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pengguna media sosial yang membuat sebarang komen atau mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati, menjelikkan, mengugut atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Sehubungan itu semua pengguna media sosial dinasihati supaya lebih berhemah semasa menggunakan media sosial, katanya.

— BERNAMA