Home Nasional Pilih ikan segar sejuk beku Q’Fish – LKIM

Pilih ikan segar sejuk beku Q’Fish – LKIM

SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menggalakkan orang ramai memilih ikan segar sejuk beku Q’Fish kerana harganya jauh lebih rendah daripada pasaran namun mutunya setanding ikan segar biasa.

Ketua Pengarah LKIM, M Saedon Ab Majid berkata saranan itu adalah bagi memastikan rakyat masih mempunyai alternatif untuk memperoleh sumber protein harian pada harga yang amat berpatutan tanpa mengira musim.

Mengakui peningkatan harga ikan yang mendadak khususnya ikan kembung pada bulan Ramadan membebankan rakyat, beliau memberi jaminan kumpulan ikan segar sejuk beku Q’Fish hanya akan dijual tidak melebihi RM10 sekilogram mengikut jenis.

“Lapan jenis ikan Q’Fish yang kita tawarkan merupakan ikan kegemaran rakyat antaranya kembung, selar, pelaling, cencaru dan tilapia yang mana ia disejuk bekukan menggunakan teknik ‘Individual Quick Freezing (IQF)’.

Maklum balas orang ramai yang kita peroleh menyatakan kualiti dan rasa ikan Q’Fish sama dengan ikan segar di pasaran. Malah dijamin bekalan jenis-jenis ikan ini sentiasa mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga ikan dan promosi Q’Fish di Pasar Tani Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

M Saedon berkata pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memperluaskan penjualan ikan Q’Fish ke seluruh negara melalui pasar-pasar tani dan agro bazar selain Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) serta pengusaha lain.

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya menyalurkan aduan kepada LKIM sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab menaikkan harga ikan Q’Fish di pasaran berbanding harga siling yang ditetapkan lembaga itu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata sejumlah 673 pasar tani di seluruh negara akan mula menawarkan produk ikan segar sejuk beku Q’Fish selain di agro bazar kerana medium itu dilihat mampu menjangkau rakyat di luar bandar.

“Selain menjimatkan kos, kerjasama ini akan memberi impak yang tinggi kerana pasar tani menjadi tumpuan pelbagai lapisan rakyat untuk membeli barangan runcit malah ia mampu mencapai sehingga ke kampung-kampung,” katanya.

— BERNAMA