CANCUN, Mexico – Malaysia Airlines hampir memuktamadkan pembelian enam atau tujuh pesawat badan lebar A330 terpakai didorong oleh rancangan syarikat penerbangan tersebut untuk mengembangkan laluan antarabangsanya di samping permintaan baik untuk tempahan musim panas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew berkata, Malaysia Airlines telah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan dan syarikat pajakan untuk membawa pesawat-pesawat badan lebar terpakai untuk menggantikan pesawat satu lorong yang ketika ini digunakan untuk penerbangan lima jam seperti laluan India, China dan Hong Kong.
“Kami telah menemui beberapa pesawat dan dalam proses melakukan due diligence,” katanya kepada Reuters di luar mesyuarat tahunan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di sini.
Menurut Peter, beliau berharap supaya urusniaga tersebut dapat dimeterai pada Julai dan pesawat-pesawat yang dilengkapi dengan Wi-Fi dan kerusi boleh baring bagi kelas perniagaan boleh menjadi sebahagian keluarga Malaysia Airlines menjelang hujung tahun ini.
Tempahan bagi enam bulan akan datang adalah baik dan hasil (yang dikira menerusi perolehan bagi setiap penumpang) adalah meningkat sekitar 10 peratus berbanding tahun sebelumnya pada Jun, Julai dan Ogos.
Ketidaktentuan terhadap sekatan perjalanan oleh Amerika Syarikat serta kemelut politik di Eropah telah memacu permintaan daripada penumpang-penumpang dari Asia Timur dan India.
“Kami melihat pemulihan yang besar bagi perniagaan dari India dan saya rasa ia akan berterusan,” katanya.
Malaysia Airlines menawarkan diri untuk memajak beberapa buah pesawat A330 daripada Alitalia sekiranya syarikat yang sedang bermasalah itu ditutup.
Bagaimanapun, Alitalia mempunyai kekuatan dari segi penerbangan jarak sederhana dan panjang, sekali gus menyebabkan pesawat-pesawat yang dimahukan Malaysia Airlines tidak dapat disediakan.-MalaysiaGazette