PUTRAJAYA – Tanggapan akan berlaku ‘Tsunami Melayu’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah fenomena palsu yang direka secara sengaja oleh pihak tertentu, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya, ‘Tsunami Melayu’ yang merujuk kepada peralihan sokongan Melayu kepada pembangkang tidak mungkin berlaku tanpa sokongan pengundi Melayu luar bandar.
Menurut Menteri Pengangkutan itu, semua kajian menunjukkan pengundi Melayu luar bandar tidak akan menentang kerajaan, tetapi mereka tetap setia kepada Barisan Nasional (BN).
“Jangan lupa bahawa kerajaan sebelum ini telah mendirikan pelbagai agensi untuk menjaga kebajikan Melayu di luar bandar.
“Terdapat penghulu di setiap kampung yang berperanan menjadi saluran komunikasi dan menjaga kebajikan penduduk kampung,” katanya kepada Sinchew Daily.
Tiong Lai berkata, pembangkang kebelakangan ini ‘menggoreng’ isu ‘Tsunami Melayu’ supaya pengundi Cina percaya bahawa Melayu akan menyumbang kepada perubahan kerajaan di Malaysia.
“Jika orang Cina percaya penipuan ini, maka orang Cina akan menjadi pembangkang sekali lagi,” katanya.
Menurutnya lagi, UMNO demi survival politiknya mungkin memilih laluan ekstrem dan konservatif dengan melakukan kerjasama dengan Pas jika BN gagal memperoleh sokongan Cina.
Katanya, DAP tidak mungkin membentuk kerajaan walaupun jika ia mendapat sokongan semua pengundi Cina.
Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, BN harus melepaskan ‘hasrat baik’ kepada orang Cina untuk menambat hati pengundi kaum itu.
“Dalam keadaan di mana orang Cina hilang keyakinan terhadap kerajaan, kerajaan harus menunjukkan niat baiknya dengan melaksanakan dasar yang selari dengan kehendak kaum ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Comments are closed.