KUALA LUMPUR – Lantikan Datuk Seri Idris Jala selaku pihak bebas dalam menangani isu FGV diyakini dapat menyelesaikan kemelut dalaman syarikat itu.
Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulas berhubung lantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
“Pada pandangan saya, pelantikan Idris adalah untuk melihat audit pengurusan.
“Tentunya ada beberapa keputusan yang telah menyebabkan kerugian yang besar berlaku kepada FGV.
“Sejak siasatan ini dilakukan, kebolehan pasaran telah menurun dan harga saham pun juga menurun lebih kepada 20 hingga 23 peratus.
“Ini satu perkembangan yang tidak baik kepada semua peneroka Felda,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Idris diumumkan Pejabat Perdana Menteri hari ini bagi mengenalpasti fakta kes dan membuat cadangan bersabit keputusan FGV menggantung CEO, CFO dan dua yang lain.
Pelantikan itu dipersetujui Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad dan CFO FGV, Ahmad Tiffi Mohd. Talha.
“Dengan adanya Idris, semoga semua ini akan mempercepatkan siasatan dan audit pengurusan. Ini akan dapat membantu menaikkan semula keyakinan pelabur terhadap FGV,” jelas Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) supaya menjalankan kajian secara holistik terhadap kes kematian Pegawai Kadet Laut yang ditemui di sebuah apartment di Sepang baru-baru ini.
Ujarnya, pasti ada faktor lain yang menyebabkan perkara itu berlaku maka proses lebih ketat perlu dibuat bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.
“Saya telah cadangan (kepada Hishammuddin) supaya siasatan holistik dijalankan di UPNM. Dalam erti bukan setakat perbuatan membuli tapi mungkin terdapat unsur lain dimana kita mahu pelajar yang belajar disana adalah pelajar yang cemerlang.
“Mereka menjalani ujian fizikal dan ujian psikometrik serta ujian IQ, tentunya mereka pelajar yang terpilih. Jika ada permasalahan, tentunya beberapa pendekatan harus dilakukan,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara.
Tambah Ahmad Zahid, siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar perilaku berkenaan terjadi.
“Beban kerja dan disiplin memang tinggi. Saya cuba cadangkan kajian secara terperinci mesti dilakukan,” katanya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini mengatakan AYAM dan UPNM melakukan siasatan segera berhubung kematian itu. -MalaysiaGazette.