Home Utama Zakaria alu-alukan pelantikan Idris siasat kemelut FGV

Zakaria alu-alukan pelantikan Idris siasat kemelut FGV

Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Datuk Zakaria Arshad mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas untuk mengenalpasti fakta kes dan membuat cadangan bersabit keputusan menggantung jawatannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures (FGV).

Zakaria berkata, langkah tersebut adalah baik memandangkan ia tidak akan berat sebelah dan menyifatkannya  satu keputusan yang adil untuk dirinya sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.

“Saya sudah berjumpa dengan beliau (Idris) sebelum ini. Saya rasa ini satu cadangan yang bagus kerana sekurang-kurangnya tidak adalah timbul isu berat sebelah dan tidak hanya melibatkan audit dalaman semata-mata dimana saya rasa ia tidak elok.

“Ia satu langkah yang baik kerana jika staf saya yang buat mungkin mereka juga serba salah nak buatkan saya.

“Ia satu langkah baik kerajaan dan saya rasa ini adil,” kata Zakaria yang ditemui media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Berhubung gesaan meletak jawatan, Zakaria mempersoalkan mengapa beliau perlu berbuat demikian sekiranya tidak ada kesalahan yang dilakukannya.

“Saya rasa cadangan itu tidak boleh kecuali lah saya salah, saya tak salah kenapa saya kena letak jawatan?” soalnya.

Zakaria hadir ke SPRM untuk memberi keterangan selamat empat jam berhubung kontroversi membabitkan FGV.

“Hari ini saya memberi kenyataan, mereka bertanya kepada saya mengenai Safitex dan beberapa kes lain. Tapi saya tidak boleh beritahu kamu.

“Saya sudah diarahkan untuk tidak memberi sebarang kenyataan,” katanya.

Kemelut melibatkan FGV tercetus selepas Isa mengumumkan arahan kepada Zakaria untuk bercuti tanpa tempoh semalam, dipercayai berkaitan urusniaga membabitkan Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd.

Zakaria mempersoalkan tindakan yang dikenakan ke atasnya dan mahu SPRM menyiasat FGV. – MalaysiaGazette

http://Idris Jala jadi orang tengah selesai kemelut FGV