Home Seni Hidup 30 pelajar dapat Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB

30 pelajar dapat Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB

Abdul Wahid Omar bergambar bersama penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 orang pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 mendapat Anugerah Biasiswa Luar Negara Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Kesemua penerima biasiswa ini akan melanjutkan pelajaran di universiti-universiti terkemuka di United Kingdom dan Australia.

Di United Kingdom, pelajar terbabit akan menuntut di universiti yang dibenarkan oleh PNB iaitu University of Oxford, University of Cambridge, London; School of Economics and Political Science, Imperial College London; University College London, University of Warwick dan Cass Business School, City, University of London.

Sementara itu di Australia pula mereka akan melanjutkan pengajian di Australian National University, University of Melbourne dan University of Queensland.

Program Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB mula diperkenalkan pada tahun 1996 untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Bumiputera yang memperoleh pencapaian akademik cemerlang dalam SPM dan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum.

“Ini adalah manifestasi kepada usaha PNB untuk membangunkan secara berterusan modal insan yang berilmu, berketerampilan, berwibawa, berdaya saing lagi berwawasan agar kelak mampu menjadi generasi pemimpin PNB pada masa hadapan”, kata Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi PNB.

Sejak program ini diperkenalkan, PNB telah menganugerahkan biasiswa untuk pengajian luar negara kepada 316 orang pelajar.

Pada masa ini seramai 31 masih menuntut di United Kingdom, 6 di Australia dan 46 lagi sedang mengikuti program persediaan di dalam negara.

Bidang pengajian yang ditaja adalah selari dan relevan dengan teras perniagaan PNB iaitu pengurusan dana dan unit amanah serta pelaburan sektor hartanah.

Mereka akan mengikuti pengajian dalam jurusan perakaunan, kewangan, undang-undang, sains aktuari, ekonomi, teknologi maklumat, pengurusan risiko, hartanah dan hospitaliti, komunikasi serta falsafah, politik dan ekonomi (PPE).

Setakat ini seramai 161 orang pemegang biasiswa PNB telah menamatkan pengajian mereka di peringkat sarjana muda dan kini sedang berkhidmat di PNB memegang pelbagai jawatan di beberapa jabatan.

“Komitmen PNB kepada pelajar-pelajar tajaannya tidak terhenti setakat penganugerahan biasiswa sahaja.

Sebaik menamatkan pengajian, mereka ditawarkan peluang kerjaya yang merentasi pelbagai teras perniagaan PNB, di samping digalakkan menyertai pelbagai kursus, latihan dan program berkaitan,” tambah Abdul Wahid.

Menurut Abdul Wahid lagi, para pelajar tajaan PNB ini bakal menjadi tenaga kerja yang akan menggalas tanggungjawab dan peranan yang amat penting untuk meneruskan pencapaian PNB ke arah menjadikan PNB sebuah firma kewangan pelaburan bertaraf dunia.

Program Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB adalah sebahagian daripada tanggungjawab Sosial Korporat PNB yang menumpukan kepada empat cabang utama iaitu pendidikan, kebolehpasaran kerja, celik kewangan dan khidmat masyarakat.

Di bawah kategori pendidikan, PNB juga menawarkan program biasiswa dalam negara dan kolaborasi bersama Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB). Program YDAB ini menaja pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian Diploma  di UiTM.

Sejak ia bermula dari tahun 1996, sejumlah 2,400 orang telah dianugerahkan biasiswa ini. – MalaysiaGazette