Home Politik Pengerusi SPR tabah dikecam pembangkang

Pengerusi SPR tabah dikecam pembangkang

Mohd Hashim Abdullah.

KUALA LUMPUR – Walaupun dikecam dan ditohmah dengan pelbagai tuduhan oleh pembangkang, Datuk Seri Hashim Abdullah masih bertabah berdepan cabaran sebagai seorang Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak cepat melatah.

Hashim berkata tidak terasa hati dengan tuduhan pembangkang yang dibuat terhadapnya, malah cacian mengatakan beliau adalah macai parti politik tidak akan menyebabkannya berundur dan tunduk kepada tekanan tersebut kerana ia sudah menjadi lumrah apabila tidak dapat memuaskan hati kehendak semua pihak.

“Jangan tohmahkan, tuduh kita, jangan kata kita macam-macam sedangkan saya takkan terasa sebab proces pembangunan itu dah saya lalui, proses tidak mudah, tak jadi masalah.

“Saya tak ada masalah, saya tak kecil hati , orang kata saya macai satu parti politik pun, tak ada masalah bagi saya, katalah nak kata apa,” kata beliau dipetik dalam satu program anjuran sebuah kolej komuniti di Selangor.

Hashim juga memberi contoh dalam perlawanan bola sepak apabila pengadil sering dipersalahkan oleh pemain apabila tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

“Bila awak pegang sesuatu jawatan awak kena faham, keadaan itu adalah sedemikian, bila awak main bola awak kena faham bahawa sasaran adalah untuk menjaringkan gol.

“Bagaimana kamu menjaringkan gol, terpulang kepada kamu, walaupun kamu kena tackle, patah kaki, patah sayap, patah segala-gala pun, itu adalah permainan, kamu tak boleh nak marah

“Jangan marah referee, jangan marah linesman, jangan marah kepada pemain-pemain lain, itu permainannya, kemudian baru kamu akan menjadi kuat,” katanya.

Hashim dan SPR menjadi sasaran pembangkang yang mendakwa badan pengendali pilihan raya negara itu tidak telus dan adil.

Terbaharu baru-baru ini, sekumpulan penyokong pembangkang berdemonstrasi di depan pejabat SPR dan bertindak mengunci pagar pejabat kerana tidak berpuas hati. – MalaysiaGazette