Home Nasional 1,000 asnaf terima sumbangan hari raya daripada UDA

1,000 asnaf terima sumbangan hari raya daripada UDA

Pengerusi UDA, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah (bawah tiga kanan) diiringi Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Ahmad Abu Bakar (tiga kiri) beramah mesra sambil memakaikan baju raya kepada anak-anak golongan asnaf dengan tajaan UDA di AEON Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 orang asnaf yang berada dalam kawasan Wangsa Maju menerima sumbangan daripada UDA Holdings Berhad (UDA) sempena hari raya bernilai kira-kira RM112,000 bagi membantu meringankan beban mereka.

Program ‘Indahnya Ramadan @WangsaMaju’ tersebut diadakan dengan kerjasama Masjid Usamah Zaid bersama Badan Kebajikan Kakitangan UDA (BKKU) dan juga Badan Didikan Agama Islam (BADIM).

Selain sumbangan kepada asnaf, UDA juga membawa anak-anak asnaf seramai 60 orang membeli pakaian dan baju raya yang bernilai RM200 setiap seorang di AEON Wangsa Maju.

Pengerusi UDA, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah menyifatkan program yang diadakan ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat di Wangsa Maju disamping membantu golongan yang memerlukan.

“Ianya juga merupakan wadah terbaik untuk menzahirkan program kemasyarakatan UDA kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“UDA amat berharap dengan sumbangan ikhlas ini akan membawa keceriaan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Shafei yang juga Ketua UMNO Bahagia Wangsa Maju turut sama menemani anak-anak asnaf membeli belah dan berkongsi kegembiraan dengan mereka, bubur lambuk kemudiaan diagihkan kepada orang ramai yang berkunjung di AEON Wangsa Maju.

Selepas itu, Shafie bersama semua asnaf dan anak-anak yatim terus ke Masjid Usamah Zaid bagi berbuka bersama mereka dan menunaikan solat tarawih disana.- MalaysiaGazette.