Home Dunia Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan

Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan

Saif al-Islam Gaddafi

KAHERAH – Anak lelaki bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi dibebaskan secara senyap oleh kumpulan tentera pada Jumaat.

Kumpulan itu telah menahan beliau sejak kebangkitan rakyat yang dikenali ‘Arab Spring’ pada 2011, mengakhiri pemerintahan keluarganya.

Dalam satu kenyataan atas talian semalam, kumpulan tentera, Briged Abu Bakr Sadeek yang berada di Zintan, barat laut negara itu berkata, mereka membenarkan Seif al-Islam Gaddafi meninggalkan bandar itu pada Jumaat, lapor NY Times.

Pembebasan Gaddafi merupakan cabaran secara langsung kepada usaha untuk mengekstradisinya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The hague yang menyatakan Gaddafi perlu dibicarakan terhadap dakwaan jenayah perang.

Beliau disabitkan dengan tuduhan itu oleh mahkamah di ibu negara Libya, Tripoli pada 2015.

Langkah yang diambil pada Jumaat lalu itu merupakan sorotan kegawatan yang telah mencengkam Libya sejak kebangkitan Arab Spring. Pada asasnya, negara itu berpecah kepada tiga puak: kerajaan di Tripoli yang diiktiraf antarabangsa tetapi lemah, badan Islamik di Tripoli dan anti kerajaan Islam di timur negara itu.

Kekacauan telah menjadikan negara di utara Afrika itu sebagai hab jenayah untuk pemerdagangan manusia dan penyeludupan senjata. Pantainya merupakan tempat pelepasan kira-kira 180,000 migran yang mendarat di Itali secara haram pada tahun lalu.

Briged Abu Bakr Sadeek menawan Seif al-Islam Gaddafi pada November 2011, selepas sebulan bapanya yang memerintah Libya selama 42 tahun dibunuh di khalayak ramai.

Semalam, kumpulan itu mengumumkan ia telah membebaskan Gaddafi bagi mematuhi undang-undang baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan di timur Libya, yang mana aktivis berkata, mereka mahu memulihkan dan mengembalikan era Gaddafi dalam kehidupan politik.

Dalam kenyataannnya semalam, kumpulan tentera itu menyatakan ia tidak lagi mengiktiraf pihak berkuasa kerajaan Islam di Tripoli menggesa kumpulan tentera lain yang menahan ‘banduan politik yang berada di bawah bidang kuasa undang-undang’ untuk mengikuti jejak langkahnya.

Menurut undang-undang baharu, kerajaan Libya di timur negara itu tidak lagi boleh memburu individu politik seperti Gaddafi, kata Saleh Hashem, salah seorang pengumbal undang-undang sambil menambah: “Negeri ini melepaskan hak untuk mendakwa tetapi orang ramai masih boleh menyaman mereka,”.

Berita mengenai pembebasan Gaddafi diterima dalam keadaan ragu-ragu di Libya, yang mana penduduknya masih lagi bergelut dalam menghadapi kesan daripada kebangkitan itu yang disusuli dengan perang saudara.

Lokasi terkini Gaddafi dan rancangan masa depannya kekal tidak jelas. Briged Abu Bkr Sadeek tidak dapat dihubungi utuk ulasan.

Bagaimanapun, beberapa akhbar tempatan di Libya berkata, Gaddafi menuju ke bandar Bayda di timur negara itu. Kerajaan Bayda mempunyai hubungan rapat dengan Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu.