Home Nasional Noh hulur bantuan di kawasan Azmin

Noh hulur bantuan di kawasan Azmin

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar diiringi Penyelaras Barisan Nasional DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din (kanan) beramah mesra dengan sebahagian penduduk setempat pada Program sehari bersama Menteri KPKT di sekitar DUN Gombak Setia yang bermula di Pangsapuri Melor, Gombak Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 11 JUN 2017

GOMBAK – Tan Sri Noh Omar meluluskan permohonan bernilai RM1.7 juta bagi memastikan kesejahteraan penduduk di sekitar kawasan Gombak.

Peruntukkan itu merangkumi kerja-kerja membaik pulih perumahan, memulihkan saluran pembentungan serta pembinaan gelanggang futsal.

Noh mengumumkan hal itu selepas menyertai kerja-kerja meninjau perumahan Pangsapuri Melor di Gombak.

Pangsapuri berkenaan menghadapi masalah atap yang sudah rosak dan menimbulkan kesusahan kepada kira-kira 500 penduduk di 48 unit rumah di sini.

Noh berkata, siri jelajah turun padang ini adalah bertepatan dengan portfolionya sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Mungkin ada yang bertanya kenapa saya ke Gombak? Saya nak bagitahu selain Gombak, hari tu saya dah pergi Sepang kemudian ke Shah Alam kerana ini adalah kawasan bandar dan kita mahu lihat rakyat hidup dalam keadaan yang sejahtera,” jelas Noh dalam sidang media.

Ujar Noh, semalam dia menjenguk kawasan Pinggiran Batu Caves dan menyatakan rasa terkejut melihat kawasan yang diseliakan Ahli Parlimen Gombak iaitu Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor.

“Menteri besar Selangor dalam beberapa siri ucapan begitu berbangga menyatakan kerajaan negeri mempunyai rizab berbillion ringgit sehingga dia (Azmin Ali) tak tahu nak berbelanja lagi. Jadi kalau dia tak tahu, saya jemputlah dia turun padang ke kawasan dia sendiri,” tegas Noh yang sudah turun ke tiga Dewan Undangan Negeri Gombak iaitu Hulu Kelang, Batu Caves dan Gombak Setia selama dua hari.

Bagi kawasan Pangsapuri Melor Noh meluluskan sejumlah RM500,000 untuk kerja-kerja pembaikkan atap.

Manakala Pangsapuri Taman Samudera mendapat RM700,000 untuk kerja-kerja pemulihan pembentungan.

Sebuah gelanggang futsal bertutup juga akan diluluskan di kawasan Gombak.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Melor,
Nazri Che Ani (tengah) bercakap pada sidang media selepas Program sehari bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar di sekitar DUN Gombak Setia yang bermula di Pangsapuri Melor, Gombak Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 11 JUN 2017

Dalam pada itu, pengerusi penduduk Pangsapuri Melor, Nazri Che Ani memberitahu, dia mewakili penduduk di situ mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Noh untuk menjenguk pangsapuri yang telah berusia 27 tahun.

“Masalah bumbung rosak ni sudah lebih 10 tahun. Kami pernah kemukakan surat kepada wakil Menteri Besar sebanyak dua kali,” jelas Nazri.

“Namun sepanjang tempoh itu pihaknya cuma menghantar orang untuk periksa sekali sahaja tapi tiada tindakan hingga sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette