Home Politik Hindraf panik ‘blueprint’ capai momentum tinggi – PAR

Hindraf panik ‘blueprint’ capai momentum tinggi – PAR

A.Chandrakumanan

KUALA LUMPUR – Gerakan Hindraf mulai panik berikutan perkembangan agresif Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India yang semakin meraih sokongan rakyat dan meningkatkan momentumnya.

Pelan bertempoh 10 tahun itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 April lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk mengubah taraf kehidupan sosioekonomi dan pendidikan komuniti ketiga terbesar negara.

Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan berkata, Hindraf yang dipelopori P. WaythaMoorthy cemburu dan tidak dapat menerima hakikat bahawa pelan induk itu akan mencapai kejayaan untuk komuniti India negara ini.

Katanya, pencapaian itu berbeza dengan cara dan budaya Hindraf yang hanya tahu mengheret masyarakat India di atas jalan untuk mengadakan protes sahaja.

“Jika Waythamoorthy ikhlas untuk membantu komuniti India, dia sepatutnya kekal dengan perjanjian yang pernah dipersetujui bersama BN sebelum ini dan melaksanakannya.

“Selepas menidakkan perjanjian itu dengan alasan tidak masuk akal, kini dia pandai menyalahkan Najib atas kecuaian dan kegagalan diri sendiri itu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah bekas Naib Pengerusi myPPP itu lagi, Hindraf perlu berhenti bercakap besar dalam membantu masyarakat India kerana mereka tidak melakukan apa-apa yang memanfaatkan komuniti itu selama ini.

Untuk rekod, katanya masyarakat India paling banyak bermanfaat di bawah limpahan kepimpinan Najib sejak 2010 lagi.

Dakwanya, Waythamoorthy juga mengkhianat masyarakat sendiri dengan mengheret mereka ke atas jalan pada tahun 2007 tetapi membiarkan mereka dan lari menyembunyikan diri di London sehingga 2012.

“Jangan anggap bahawa rakyat sudah lupakan pengkhianatan yang kamu lakukan itu. Kenapa Waythamoorthy tidak mahu sedar bahawa masyarakat India sudah marah dengan Hindraf yang sentiasa memutarbelitkan fakta dan kenyataan mengelirukan selain menuduh kerajaan terhadap apa jua usaha yang diambil selama ini?

“Najib semasa pelancaran Pelan Induk berkata Blueprint berkenaan akan dilaksanakan ‘sepenuhnya’ secara teliti dan serius untuk mensejahterakan masa depan masyarakat India jika terus menyokong BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Bagi saya itu satu kenyataan adil kerana Blueprint hanya akan sukses jika kerajaan BN terus berkuasa dan diberikan kepercayaan,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette