Home Utama Nazri ucap terima kasih kepada Abang Johari

Nazri ucap terima kasih kepada Abang Johari

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz bercakap pada sidang media ketika hadir pada Program Iftar @ KL di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menganggap keputusan Sarawak menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia, tiada kaitan dengan kenyataannya semalam.

Nazri semalam menyifatkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri setahun jagung dan ‘belajar dengannya jika mahu jadi samseng’.

Menurut beliau, pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg itu semenangnya wajar memandangkan pejabat Lembaga Pelancongan Malaysia di seluruh negara ditutup sejak Januari lalu sebagai langkah mengurangkan kos kerajaan.

“Saya berterima kasih kerana kerajaan Sarawak memahami apa yang saya lakukan dengan menarik balik wakilnya.

“Apa yang mereka lakukan (hari ini) selaras dengan apa yang saya lakukan,” katanya memetik laporan sebuah portal hari ini.

Abang Johari awal hari ini, mengumumkan menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta-merta hari ini dengan alasan bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.

Keputusan kerajaan negeri itu diumumkan sehari selepas Nazri menggelar Abdul Karim sebagai menteri “setahun jagung”.

Nazri berkata demikin sebagai reaksi terhadap gesaan Abdul Karim agar kerajaan pusat menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan. -MalaysiaGazette.