Home Nasional Pemandu treler direman 4 hari

Pemandu treler direman 4 hari

JEMPOL – Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan yang meragut lapan orang di Jalan Bahau-Keratong, dekat Jempol petang semalam telah ditahan reman selama empat hari.

Reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezal pagi tadi.

Lelaki berkenaan, 44 tahun direman bagi membolehkan siasatan polis dilakukan terhadapnya di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kemalangan yang berlaku pada petang semalam membabitkan tiga buah kenderaan iaitu Myvi, Proton Exora dan Toyota Vios.

Dalam tragedi itu, pemandu dan lima penumpang Proton Exora serta pemandu dan penumpang Perodua Myvi maut.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang datang dari arah Keratong menghala ke Bahau cuba memotong sebuah motosikal yang membawa peti aiskrim tetapi tidak lepas lalu membrek trelernya.

Treler itu kemudiannya telah memasuki laluan bertentangan di sebelah kanan dan dalam masa sama sebuah Myvi yang datang dari arah bertentangan itu cuba mengelak treler berkenaan menyebabkannya memasuki ke kiri jalan dan bertembung dengan sebuah Vios dari arah Keratong ke Bahau.

Kemudian Exora yang dari arah Bahau ke Keratong cuba mengelak treler namun gagal dan terperosok di bawah treler lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan itu menyebabkan Proton Exora itu hangus terbakar 100 peratus manakala treler hangus 50 peratus. – MalaysiaGazette