Home Nasional Pentadbiran Kerajaan DAP P. Pinang punca lambakan pusat perjudian

Pentadbiran Kerajaan DAP P. Pinang punca lambakan pusat perjudian

Ketua Pemuda Sosialis DAP, Wong Kah Woh bimbang dengan fenomena Pakatan Harapan yang menerima dan menyambut baik wakil rakyat daripada UMNO yang lompat parti.
Ketua Pemuda Sosialis DAP, Wong Kah Woh bimbang dengan fenomena Pakatan Harapan yang menerima dan menyambut baik wakil rakyat daripada UMNO yang lompat parti.

PULAU PINANG – Pas Pulau Pinang menyifatkan kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di negeri ini berpunca daripada dasar dan pendekatan pentadbiran Kerajaan DAP di negeri itu.

Ketua Penerangan Dewan Pemudanya, Ahmad Safuan Ujar berkata, pendekatan kapitalisme yang menjadi antara tunjang pemerintahan Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengutamakan keuntungan dan perolehan kewangan tanpa melihat kesan ke atas aspek sosial masyarakat.

Menurut beliau, kemudahan lesen premis pusat hiburan berunsurkan perjudian menyebabkan kegiatan perjudian di negeri ini umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Malah, tambahnya, situasi itu tidak termasuk perjudian secara tersembunyi yang berselindung di sebalik aktiviti perniagaan yang mana kegiatan dan taktik tersebut semakin berleluasa serta bukan lagi satu rahsia.

“Peniaga berani ‘mengambil kesempatan’ itu kerana kerajaan yang memerintah pun seperti itu. Jika berlaku tangkapan atau tindakan undang-undang, akhirnya hanya membawa kepada saman.

“Mereka terlebih mampu untuk bayar dan setelah itu, sama ada kegiatan diteruskan, atau mereka akan memohon lesen sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, keadaan itu juga menjelaskan mengapa serbuan dan tangkapan polis terhadap operasi premis berkenaan di negeri ini meningkat tahun ini sehingga polis dilihat berdepan kebuntuan maksimum.

Ini kerana, ujarnya, pihak berkuasa itu terpaksa berdepan punca kuasa yang membenarkan kegiatan berkenaan berjalan dan pada masa sama menghadapi kemelut masalah sosial kesan daripada kegiatan perjudian.

“Masalah gengsterisme, pinjaman ah long, pergaduhan, kecurian dan seumpamanya adalah kebejatan yang akan lahir kelak daripada permasalah perjudian ini.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang mungkin megah mengaut laba daripada hasil kerancakan kegiatan perjudian di negeri ini, tetapi akan berdepan krisis di suatu masa nanti.

“Hakikatnya, pemerintahan Kerajaan DAP Pulau Pinang bukanlah demi kesejahteraan rakyat, sebaliknya mengambil kesempatan atau peluang membina kekayaan dari kerosakan sosial rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Pas telah menunjukkan penyelesaian isu sosial tersebut sebagaimana pemerintahan Kerajaan Pas Kelantan yang menggunakan kuasa ke atas premis untuk menyekat aktiviti perjudian. – MalaysiaGazette