Home Nasional Kalau terpaksa roboh Ampang Park buat selepas PRU-14

Kalau terpaksa roboh Ampang Park buat selepas PRU-14

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahwan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah hadir bersama para peniaga untuk menyerahkan memorandum memohon rayuan Perdana Menteri menangguhkan perobohan Ampang Park sehingga PRU-14 selesai di Hadapan Perkarangan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JUN 2017

PUTRAJAYA – Selepas beberapa kali mengadakan demonstrasi dan bantahan menuntut Ampang Park tidak dirobohkan akhirnya pemilik-pemilik lot di pusat beli-belah itu merayu campur tangan Perdana Menteri sebagai jalan terakhir.

Petang tadi, seramai 200 pemilik lot di pusat beli belah berkenaan berkumpul di hadapan pejabat Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra di sini bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap perobohan tersebut.

Kumpulan itu diwakili Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kandungan dalam memorandum itu juga meminta supaya jika tidak ada jalan penyelesaian dan Ampang Park terpaksa juga dirobohkan langkah itu diharap dapat ditangguhkan selepas PRU-14 nanti.

Ini kerana katanya, beliau tidak mahu isu tersebut dijadikan alat oleh pemimpin politik parti pembangkang dalam kempen mereka memburukkan kerajaan BN sekarang.

“Isu ini dilihat semakin bermasalah apabila sudah ada campur tangan daripada pembangkang. Ada wakil pembangkang sudah jumpa dengan saya. Mereka kata kalau Ampang Park roboh tolong kempen dan bawa pengundi-pengundi sokong mereka.

“Ini telah berlaku dan peniaga-peniaga di sini masih lagi menyokong kerajaan pusat,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Nik Mohammed Husin Nik Mohamed Ali.

Menurut Ridzuan, langkah bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak hari ini merupakan cadangan Ketua Pegawai Eksekutif MRT sendiri, Datuk Seri Shahril Mokhtar agar Ikhlas memberikan penjelasan mengenai kemelut yang berlaku kepada Perdana Menteri sendiri.

Katanya, ada segelintir pemilik lot yang keliru apabila Pejabat Tanah dan Galian menghantar notis dengan kandungannya telah tersalah tafsir hingga menyebabkan peniaga yang terlibat dengan perobohan itu menganggap kerajaan bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk merobohkan Ampang Park.

“Saya minta pejabat tanah jangan menakut-nakutkan dengan menghantar pelbagai notis kepada peniaga. Ikhlas mahu perkara ini diselesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan masih menaruh keyakinan Perdana Menteri akan mendengar rayuan peniaga sambil menyifatkan kerajaan pusat tidak zalim seperti kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.

“Kalau roboh tolong bina balik tempat untuk peniaga. Inilah permintaan terakhir peniaga-peniaga Ampang Park,” ujarnya.

Datuk Nik Md Salleh Nik Jaffar

Wakil peniaga, Datuk Nik Md. Salleh Nik Jaaffar merayu agar Perdana Menteri dapat campurtangan dalam perkara tersebut.

Katanya, peniaga tidak menghalang projek MRT itu untuk dilaksanakan tetapi berharap agar rayuan mereka dapat didengari juga.

“Jika Perdana Menteri dapat menghalang projek itu daripada dilaksana maka sokongan pengundi di situ tidak akan berbelah bagi dan kita bangunakan wajah Ampang Park yang baharu.

“Kalau tetap diroboh harap dapat diberi lot-lot kepada peniaga untuk berniaga semula di situ,” ujarnya. – MalaysiaGazette