Home Ekonomi Pengurangan bekalan Arab Saudi pacu kenaikan harga minyak

Pengurangan bekalan Arab Saudi pacu kenaikan harga minyak

SINGAPURA – Harga minyak meningkat awal pada hari Selasa, didorong oleh kenyataan pemimpin Arab Saudi yang mahu melakukan pengurangan bekalan yang besar kepada pelanggan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$48.42 setong pada 0044 GMT, meningkat AS$0.13 atau kenaikan 0.3 peratus berbanding harga penutup terakhir.

Penanda aras minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) pula AS$46.21 setong, juga meningkat sebanyak 0.3 peratus.

Arab Saudi adalah pengeluar utama minyak dunia, mengetuai usaha OPEC untuk mengurangkan bekalan minyak hampir 1.8 juta tong sehari sehingga suku pertama tahun depan dalam usaha meningkatkan harga bahan bakar itu.

Dalam tempoh separuh pertama tahun ini, terdapat keraguan ke atas pematuhan OPEC kerana bekalan terutamanya ke Asia, kekal tinggi.

Arab Saudi kini melakukan pemotongan sebenar, termasuk 300,000 tong sehari di Asia bagi bulan Julai, walaupun beberapa loji penapisan Asia memaklumkanĀ mereka masih menerima peruntukan penuh.

“Harga minyak mentah meningkat di sokong oleh kenyataan Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid Al-Falih yang memberitahu inventori semakin berkurangan dan pengurangan akan diperluaskan dalam tiga minggu lagi,” kata ANZ bank.

Walaupun ahli-ahli OPEC lain, seperti Libya dan Nigeria dikecualikan pengurangan bekalan itu masih terdapat keraguan terhadap pematuhan dari Iraq.

Bekalan dari OPEC menyusut sejak Januari lalu.

Data perdagangan menunjukkan penghantaran OPEC kepada pelanggan purata 26 juta tong sehari dalam tempoh enam bulan terakhir 2016, manakala purata sekitar 25.3 juta tong sehari pada separuh pertama tahun ini. – MalaysiaGazette