Home Politik Pimpinan PPBM melucukan, pemikiran semakin dangkal – Sohaimi

Pimpinan PPBM melucukan, pemikiran semakin dangkal – Sohaimi

Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggap melucukan dan mempunyai pemikiran yang sangat dangkal apabila mengaitkan pihak luar dalam kemelut yang melanda parti itu.

Datuk Sohaimi Shahadan yang dipetik dari sebuah laman portal pro Barisan Nasional berkata, perkara itu terjadi ekoran parti tersebut mahu menutup kelemahannya sendiri.

“Bagi saya ini satu tindakan yang kelakar. Kenyataan ini sebenarnya menunjukkan ketidakmatangan pemimpin PPBM itu sendiri.

“Bagaimana seorang pemimpin yang pernah menjadi Menteri Besar boleh keluarkan kenyataan macam tu? Sangat dangkal. Masalah parti sendiri tapi tuduh orang lain yang cetuskan krisis dalam parti dia, memang melucukan dan meroyan,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu yang merujuk kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut Sohaimi, kenyataan Mukhriz itu bukanlah kali pertama, dan ia sering kali menunding jari kepada UMNO setiap kali PPBM menghadapi krisis.

Katanya, tindakan tersebut telah menjadi ‘trade mark’ bekas Menteri Besar Kedah itu dalam usaha untuk memikat hati rakyat supaya mempercayai PPBM agar terus relevan.

Parti yang berlambangkan logo bunga raya itu kini diambang krisis berikutan ramai ahli mereka bertindak keluar parti ekoran dakwaan telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan mereka.

Terbaru, Exco Armada PPBM, Muhammad Hafiz Azhar melemparkan pelbagai soalan yang diajukan oleh ahli peringkat akar umbi mengenai kekayaan luar biasa anak-anak Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga skandal Nika Ghee dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette