Home Nasional Selepas Sarawak, Sabah juga tolak pelaksanaan cukai pelancongan

Selepas Sarawak, Sabah juga tolak pelaksanaan cukai pelancongan

Masidi Manjun

KUALA LUMPUR – Selepas kontrovesi antara Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dengan Datuk Seri Nazri Aziz berhubung pelaksanaan cukai pelancongan, Sabah juga dikhabarkan akan turut menolak cukai tersebut.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, dilaporkan berkata, Sabah juga akan menolak sebarang pelaksanaan cukai yang dicadangkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu.

Memetik laporan Sarawak Voice, Masidi berkata, sebarang bentuk cukai perlu disalurkan ke negeri Sabah, bukannya ke kantung Kerajaan Pusat.

“Pelancongan dianggap penyelamat ekonomi negara ketika negara berdepan kesukaran. Banyak pemain tidak meraih pendapatan tinggi sekarang,” katanya.

Jelas beliau, biarpun langkah kerajaan itu untuk menjana pendapatan negara, namun analisis kos dan faedah perlu dilakukan sebelum melaksanakan cukai sedemikian.

Isu pelaksanaan cukai pelancongan oleh Nazri menarik perhatian apabila beliau menggelarkan Abdul Karim sebagai menteri setahun jagung dan perlu belajar daripadanya bagaimana untuk menjadi samseng.

Ia ekoran gesaan Abdul Karim meminta supaya kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Jelas Masidi, pelaksanaan cukai tersebut wajar dipertimbangkan untuk masa akan datang dan bukannya terus dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Yang saya hendak tekankan ialah kita dapat ‘menjual’ Sabah lebih baik daripada orang lain, kerana ini negeri kita dan kita tahu dengan tepat bagaimana ‘menjualnya’.

“Ramai rakyat Sabah akan kehilangan pekerjaan jika industri pelancongan terjejas dan keadaan akan bertambah buruk jika kerajaan mengambil keputusan melaksanakan cukai pelancongan,” katanya. -MalaysiaGazette.