Home Nasional MARA, KKM sertai inisiatif Negaraku, pupuk semangat cintakan negara

MARA, KKM sertai inisiatif Negaraku, pupuk semangat cintakan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (kiri) menampal pelekat Negaraku pada salah sebuah kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai simbolik Pelancaran Inisiatif Negaraku kementerian tersebut di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 14 JUN 2017

PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menyertai inisiatif Negaraku dengan penganjuran beberapa program sebagai tanda sokongan usaha ke arah memupuk semangat cintakan negara.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di Putrajaya.

MARA akan memperluaskan inisiatif Negaraku kepada semua kakitangan dan pengguna perkhidmatan syarikat basnya, MARA Liner yang memiliki 51 buah ekspres dan 237 buah bas luar bandar disamping 1,700 buah kenderaan rasmi dari 533 buah pusat pentadbiran MARA dalam dan luar negara termasuklah Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah diambil MARA tersebut adalah tanda komitmen mereka menyahut insiatif Negaraku secara serius khususnya dalam memupuj semangat cintakan negara.

“MARA mempunyai seramai 160,957 pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam dan luar negara dibawah tajaannya, justeru MARA akan melaksanakan program-program khusus bagi menanam semangat kecintaan terhadap negara,” kata Ismail Sabri selepas majlis perasmian tersebut.

Sementara itu, KKM yang turut menyertai inisiatif tersebut pula akan memperkenalkan pelekat Negaraku di beberapa kenderaan milik KKM seperti ambulan dan klinik bergerak sebagai tanda sokongan penuh terhadap kempen tersebut.

Langkah tersebut kata KKM akan menyemai rasa bangga dan semangat cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia khususnya.

KKM akan memasang pelekat Negaraku di semua kenderaan secara berperingkat seluruh negara.

Manakala pemberian lencana logo Negaraku akan ditempah dan diedarkan secara berperingkat-peringkat kepada semua anggota kesihatan beruniform KKM seluruh negara.

KKM juga menetapkan #SihatNegaraku sebagai hashtag rasmi agensi tersebut tahun ini. – MalaysiaGazette