SEPANG- Penambahan aliran penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur memaksa Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB) untuk meluaskan lapangan terbang tersebut.
Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, kerja-kerja peluasan lapangan terbang berkenaan akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun.
Dengan itu, MAHB akan melantik firma perunding yang akan menentukan keperluan cadangan untuk menambah baik infrastruktur termasuk strategi pemasaran lapangan terbang tersebut.
Jelasnya, selain memperluaskan KLIA, MAHB turut menjalankan beberapa penambahbaikan ketika ini kerana usia terminal utama itu sudah mencecah 20 tahun.
“Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah menukar konsep tandas di KLIA, memperluaskan surau, menaik taraf sistem bagasi dan tempat meletak kenderaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konsep Baharu Tandas KLIA, di sini hari ini.
Menurut Badlisham, jumlah penumpang di KLIA diunjurkan terus meningkat berdasarkan pertambahan pergerakan trafik yang ditunjukan sepanjang tahun ini.
“Pergerakan trafik bagi tempoh Januari sehingga Mei lalu di KLIA meningkat sebanyak 25.9 peratus kepada 12 juta penumpang berbanding tempoh sama pada 2016.
“Faktor penambahan ini turut disumbangkan menerusi penyertaan tiga pengendali penerbangan yang berminat untuk berada di KLIA,” katanya.
Pada masa sama, kata Badlisham, beberapa pelabur antarabangsa turut berminat untuk berkerjasama dengan MAHB dalam usaha membangunkan KLIA sebagai bandar aeropolis. Beliau memaklumkan,
MAHB berpeluang melakukan rundingan akhir dengan tujuh syarikat aeronautik ketika Pameran Udara Antarabangsa Paris 2017 yang bermula Isnin ini di Paris, Perancis, kebanyakannya membabitkan syarikat Eropah.- MalaysiaGazette