Home Politik Masyarakat Cina Pulau Pinang wajar kembali kepada BN

Masyarakat Cina Pulau Pinang wajar kembali kepada BN

Datuk Seri Zainal Abidin Osman ketika ditemui di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Para pengundi Cina di Pulau Pinang digesa untuk kembali memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, masyarakat Cina dan kaum lain di negeri itu tidak pernah dianiaya, malah mendapat keperluan hidup yang sama sebagaimana kaum Melayu di negara ini.

“Adakah kaum Cina dianiaya selama 60 tahun, adakah UMNO kejam sampai tidak bagi orang Cina berniaga? UMNO bagi sekolah aliran Cina hidup, bagi ekonomi yang bagus untuk orang Cina berniaga.

“Tiada kecaman langsung kepada kaum lain, tapi dalam keadaan kita bagi semua kepentingan kepada semua kaum, apa yang kaum lain bagi kepada UMNO BN?” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, BN yang diterajui UMNO adalah pilihan terbaik kepada semua kaum kerana mempunyai rekod cemerlang dalam memberikan ekonomi terbaik khususnya kepada masyarakat Cina untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Selama lebih 60 tahun memerintah, masyarakat Cina ujarnya memperolehi laba yang besar ekoran daripada kestabilan ekonomi dan sosial yang dijaga oleh UMNO.

“Kalau mereka boleh fikir dengan lebih baik, maka mereka kena fikir kemajmukan yang kita bina dala negara ini yang diperintah oleh semua kaum, elok mereka kembali menyokong BN supaya dengan ini dapat membangunkan negara ini,” katanya lagi.

Pulau Pinang kini diperintah DAP setelah menewaskan BN Pulau Pinang sebanyak dua kali sejak 2003.

Mengulas lanjut, BN Pulau Pinang kini semakin mengukuhkan kedudukannya apabila mula bergerak secara seiringan dalam mendepani kepentingan rakyat.

UMNO, MCA dan Gerakan katanya semakin rapat bekerjasama antara satu sama lain dalam memastikan semua pelusuk negeri Pulau Pinang itu dilawati.

“UMNO dan Gerakan di Pulau Pinang, kita ada dalam satu ikatan yang bagus, hubungan kita cukup baik sampaikan kita ada program bersama. Sebelum ini kita banyak bertindak sendirian, tapi sejak akhir-akhir ini kita banyak kerjasama dalam program melibatkan Pulau Pinang.

“Malah kita turun padang melawat kawasan dengan turun semua parti sebagai satu pasukan. Dalam konteks ini kita berpegang kepada prinsip kita bukan kepada perbezaan pendapat kita.

“Walaupun UMNO menang 10 kerusi DUN, 3 kerusi Parlimen, Gerakan dan MCA tidak menang kerusi, tapi di peringkat kepimpinan BN Pulau Pinang kita masih lagi pilih Gerakan sebagai ketua,” ujar beliau. -MalaysiaGazette.