Home Utama Tengku Abdullah anggap mangsa pesawat Hawk wira negara

Tengku Abdullah anggap mangsa pesawat Hawk wira negara

KUANTAN – Suasana hiba menyelubungi perkarangan Jabatan Perubatan
Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini malam tadi apabila keluarga dan rakan-rakan melihat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar memeluk
erat adik Mikhail Adam Riaz – anak sulung juruterbang Tentera Udara DiRaja Malaysia TUDM, Allahyarham Mejar Mohd. Yazmi Datuk Mohamed Yusof yang terkorban dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 semalam.

Tengku Puan Pahang secara spontan memeluk kanak-kanak berusia 11 tahun itu sebaik dimaklumkan beliau adalah anak sulung kepada salah seorang juruterbang yang terkorban.

Sambil menenangkan Mikhail, beliau turut mengalirkan menangis tidak dapat menahan kesedihan bersama anak sulung kepada lima anak Allahyarham Mohd. Yazmi.

Turut hadir ialah suaminya, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Ahmad Shah.

Turut bercemar duli berangkat mengziarahi jenazah dan keluarga mangsa ialah KDYMM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Kolonel Yang DiPetua TUDM.

 

Tengku Abdulah juga merakamkan takziah kepada keluarga kedua-dua juruterbang terbabit dan menganggap mereka wira negara.

Titah baginda, Allahyarham Mohd Yazmi dan Allahyarham Mohd Hasri adalah wira negara.

 

“Saya berdoa semoga roh kedua-dua wira negara ini ditempatkan bersama
orang-orang beriman dan saya berharap keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi ujian ini” titah baginda.

Dalam kejadian kira-kira jam 11:30 pagi semalam, dua juruterbang TUDM terkorban selepas pesawat HAWK 108 yang mereka terbangkan terhempas di kawasan paya di Kemaman, Terengganu, kira-kira 30 batu nautika dari Pangkalan Udara Kuantan.

Mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 2:30 petang semalam, selepas kira-kira tiga jam pesawat yang mereka terbangkan untuk sesi latihan terputus hubungan dengan menara kawalan.

Sehingga kini, bangkai pesawat HAWK 108 yang terhempas terbabit belum dijumpai.

Kedua-dua mangsa dilaporkan melompat keluar daripada pesawat menggunakan kerusi anjal sebelum pesawat terhempas.

Sementara itu, jenazah Mohd. Yazmi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa manakala jenazah Hasri pula di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda, Jempol pagi ini.- MalaysiaGazette