Home Politik Tengku Adnan sedia berdepan saman Sivarasa

Tengku Adnan sedia berdepan saman Sivarasa

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau sedia berdepan dengan saman fitnah yang difailkan oleh Anggota Parlimen Subang R. Sivarasa terhadapnya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO, berkata beliau tidak gentar untuk ‘naik turun’ mahkamah dalam kes itu.

“Saya tunggu sahaja dia nak saman, saman sajalah, nak buat macam mana… Kita akan lawanlah,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Nur Ramadan Wilayah Persekutan peringkat Parlimen Lembah Pantai, di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan program Nur Ramadan Parlimen Lembah Pantai dan menyampaikan sumbangan kepada 1,000 orang asnaf.

Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Tengku Adnan berhubung ucapan Setiausaha Agung UMNO itu mengenai lawatan Sivarasa ke masjid yang dikatakan pemimpin PKR tersebut sebagai berniat jahat memfitnahnya.

— BERNAMA