LONDON – Anak kapal British Airways (BA) akan mengadakan mogok selama dua minggu mulai 1 Julai ini berikutan pertikaian mengenai gaji dan faedah.
Kesatuan anak kapal BA, Unite enggan menerima tawaran muktamad syarikat penerbangan itu.
Unite mendakwa anak-anak kapal tidak mendapat bonus atau faedah, termasuk tiket penerbangan percuma dan diskaun.
BA pula berkata, tindakan yang dicadangkan itu melampau dan tidak wajar.
Sebaliknya, Unite berkata, ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap BA bagi pihak 1,400 anak kapal yang terjejas.
Pada awalnya Unite merancang mogok selama empat hari mulai hari Jumaat tetapi ditangguhkan sementara pertikaian dapat diselesaikan.
Tetapi sekarang Unite berkata, ahli-ahlinya akan mula mogok pada pukul 12.01 malam pada hari Sabtu hingga 11.59 malam pada hari Ahad pada 16 Julai.
Unite telah menganjurkan mogok selama 26 hari sejak awal tahun ini. – MalaysiaGazette