KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mengetengahkan kepentingan wanita dalam penggubalan dasar negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, banyak usaha telah dilakukan dalam memperkasakan golongan wanita baik dalam sektor korporat atau sosial.
“Kita mahu lahirkan lebih ramai lagi srikandi-srikandi yang disegani dalam bidang masing-masing
“Saya percaya golongan wanita akan dapat merealisasikan potensi sebenar mereka dengan ruang dan peluang yang disediakan oleh kerajaan, Insya-Allah,” katanya menerusi entri terbaru blog najibrazak.com bertajuk ‘Kehebatan Tokoh-Tokoh Wanita Dalam Sejarah’.
Beliau berkata peranan wanita bukanlah sekadar menjadi ibu dan isteri bahkan memberi impak yang besar kepada pembangunan sesebuah masyarakat atau negara.
“Bak kata pepatah Melayu, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, ” katanya.
Menurut Najib, ramai tokoh wanita Islam yang berjaya dan diberi pengiktirafan atas sumbangan besar mereka yang dapat dijadikan pedoman seperti Saidatina Siti Khadijah RHA yang merupakan usahawan wanita terulung dan seorang dermawan yang merupakan sumber inspirasi kepada Rasulullah SAW.
“Kita juga sedia maklum akan kebijaksanaan Saidatina ‘Aishah RHA sebagai tokoh pendidik dan keberanian Nusayba binti Ka’ab al-Ansariyah, seorang srikandi wanita yang mempertahankan baginda Rasulullah SAW dalam Perang Uhud,” katanya. – MalaysiaGazette