KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Pas perlu bekerjasama dengan UMNO jika mahu terus membela Islam di negara ini.
Ujarnya, sebagai parti bertunjangkan Islam dan Melayu, kedua-dua parti itu dinasihati supaya terus bersatu bagi mengelak pihak pembangkang mengambil kesempatan dengan perpecahan parti Melayu di negara ini.
“Apabila kita kalah PRU, kuasa akan jatuh ke tangan DAP. (Datuk Seri) Hadi Awang pernah sebut bahawa DAP adalah musuh Islam, anti Melayu, sekarang baru sedar.
“Kita sudah ingatkan (Pas) jangan rapat dengan DAP. Tapi mereka buat hubungan baik. Malah arwah (Datuk Seri) Nik Aziz pun pernah sambut hari jadi di rumah mendiang Karpal Singh.
“Ingat alim ulama tidak silap, rupanya kita yang tidak alim ini yang boleh baca (niat mereka). Saya pernah beritahu mereka jangan rapat dengan DAP,” katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agong Koperasi Sahabat Karya Berhad di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Sabahat Karya Berhad Datuk Zulkefli Hamzah dan Ketua Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zuhaini Ramli.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, undi masyarakat Melayu kepada Pas suatu masa dahulu mengakibatkan DAP mampu untuk mengemudi pembangkang sekaligus menjadi kuasa besar dalam gabungan itu.
“Sebelum ini undi Pas kembali kepada siapa, mesti kepada DAP. Apabila undi Pas, maksudnya DAP yang akan dapat kuasa dan memerintah. Mereka yang akan tentukan hala pakatan, mereka parti yang dominan.
“Kita kena bersatu dan naikkan agenda orang Melayu dan bela Islam, kita kena bersatu di negara ini. Jangan berpecah belah lagi,” katanya lagi.
Tambah Tajuddin, beliau pernah membawa perkara itu kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mengenai dominasi DAP dalam pembangkang.
Katanya, semua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengawal DAP dalam memperjuangkan matlamat dan agenda tersendiri parti itu dalam PH.
“Saya pernah bagitahu (Datuk) Mujahid, mereka tidak boleh kawal DAP kerana ada agenda tersendiri dan matlamat sendiri.
“Mereka akan buat jika dapat kuasa, masukkan pelajar bukan bumiputera dalam UiTM, penuhkan penjawat awam dengan bukan Melayu. Jadi tiada alasan untuk orang Melayu sokong parti lawan,” jelas Tajuddin. -MalaysiaGazette.