PARIS – Pendakwa raya anti-pengganas Perancis telah membuka satu siasatan selepas sebuah kereta yang membawa senjata api dan sebuah kanister gas merempuh sebuah van polis di Champs Elysees di pusat bandar ini.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gérard Collomb berkata, pemandu kereta itu terbunuh dalam kejadian yang disifatkan sebagai “percubaan serangan” ke atas konvoi polis di jalan, tempat dua serangan pengganas tiga bulan lalu.
Sumber polis memberitahu media Perancis, penyerang itu adalah warga negara Perancis berusia 31 tahun dari pinggir bandar Paris, Argenteuil yang namanya berada dalam senarai pemerhatian keganasan kerana hubungannya dengan kumpulan pengganas.
Collomb berkata, senjata dan gas kanister gas ditemui di dalam kereta.
Sumber polis berkata, pelbagai senjata termasuk pistol dan senapang AK47 turut ditemui.
Pakar pelupusan bom berada di tempat kejadian.
Collomb memberitahu, percubaan serangan ke atas pasukan keselamatan menunjukkan ancaman keganasan masih sangat tinggi di negara itu dan keadaan kecemasan wajar dilanjutkan sehingga November ini.
Tidak ada anggota polis yang cedera dalam kajadian yang disifatkan oleh sumber polis kepada BFM TV sebagai serangan kamikaze.
Eric Favereau, seorang wartawan yang berada di atas motosikal di belakang konvoi itu berkata, dia melihat van polis berhenti dekat dewan pameran Grand Palais dan sebuah kereta menghalang jalan mereka, diikuti oleh letupan.
Berikutan kejadian itu polis menutup kawasan Champs Élysées, juga stesen metro.
Kawasan itu popular dalam kalangan pelancong, telah dikawal ketat sejak seorang anggota polis ditembak mati pada April lalu. – MalaysiaGazette