Home Politik Pekira bela nasib usahawan muda, mahu pastikan BN menang – Ridzuan

Pekira bela nasib usahawan muda, mahu pastikan BN menang – Ridzuan

Ridzuan (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat semangat pada sidang media parti Pekira di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) yang baru sahaja ditubuhkan mahu menumpukan perjuangan untuk membela nasib golongan usahawan khususnya dalam kalangan belia bawah 40 tahun.

Langkah itu berikutan golongan tersebut didakwa sering dipandang sepi oleh parti-parti lain.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, suasana politik tempatan yang semakin hangat ketika ini telah menncuri perhatian untuk beliau menubuhkan parti berkenaan bagi membela usahawan generasi belia.

Menurutnya, penubuhan parti itu merupakan rentetan daripada desakan ahli-ahli Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) dari seluruh negara yang mahukan sebuah parti alternatif untuk membela golongan tersebut.

“Kami akan memberi tumpuan kepada isu-isu usahawan dan juga golongan muda. Sejak 10 tahun turun padang saya dapat lihat, nilai masalah yang dihadapi oleh golongan ini, ada yang terbela oleh parti politik dan ada juga terabai, tetapi mereka datang dan percaya kepada Ikhlas.

“Dari situ, saya nampak sokongan yang diberikan. Kami komited membantu menangani kos sara hidup rakyat, khususnya usahawan serta belia,” katanya yang merupakan presiden Ikhlas dalam sidang media sulung parti berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, parti itu secara dasarnya menyatakan sokongan kepada kerajaan sedia ada yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).

“Kita ada keahlian begitu ramai dalam 200,000 majoritinya akan diserap ke dalam parti baru Pekira. Parti kita akan sokong segala usaha kerajaan bagi memastikan kemenangan BN dalam PRU.

“Sebelum ini kita tanya kenapa tak minta tolong wakil rakyat, ahli parlimen, parti politik mereka dah cuba dan gagal dan akhirnya minta bantuan dari Ikhlas,,” ujarnya.

Ridzuan berkata, pihaknya telah menghantar borang permohonan pendaftaran parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada bulan lalu dan masih menunggu kelulusannya.

Jelasnya, selain daripada ahli Ikhlas sendiri, keahlian parti itu memberi tumpuan kepada pengundi-pengundi atas pagar.

Pada sidang media itu ketika ditanya adakah Pekira akan bertanding pada PRU14 berkata, Ridzuan menjelaskan, keputusan tersebut terletak di tangan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tak boleh buat keputusan dalam waktu terdekat ini, kita cuma nak pastikan kemenangan BN dalam PRU.

“(Tapi) apa pun keputusan PM (untuk beri Pekira bertanding) kita terima,” katanya.

Tambahnya, jika Pekira tidak diberikan kerusi, kerajaan wajar melantik seorang wakil parti itu sebagai senator dalam Dewan Negara.- MalaysiaGazette