KUALA LUMPUR – Wartawan dan penulis hiburan negara hari ini kehilangan seorang tokoh yang cukup disegani, Allahyarham Bahyah Mahmood yang meninggal dunia pada pukul 5.20 pagi tadi.
Bahyah Mahmood, 75, atau lebih dikenali dengan panggilan BAM menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara, Putrajaya akibat kanser.
Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, BAM bukan hanya sebagai seorang wartawan hiburan penuh wibawa tetapi dalam banyak keadaan menjadi ‘rakan baik’ kepada sesiapa sahaja disekeliling beliau.
“Kak BAM menjadi tempat berkongsi segala masalah, suka dan duka bukan sahaja dalam kehidupan anak seni tempatan, tetapi juga kami wartawan-wartawan muda yang menyambung perjuangan beliau dalam bidang penulisan seni dan hiburan.
“Beliau sudah seperti kakak atau ibu kepada kami kerana sering memberikan nasihat-nasihat, galakkan dan kata-kata semangat kepada wartawan yang lebih junior seperti kami.
“Tidak pernah ada seorang pun yang tidak menyukai atau ada masalah peribadi dengan beliau sepanjang kami mengenalinya,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tengku Khalidah berkata, tidak hairanlah kenapa nama-nama besar, seniman dan seniwati lagenda negara meletakkan Bahyah sebagai maestro kewartawanan hiburan yang begitu berpengaruh.
Apa yang diungkapkan, atau diputuskan oleh Bahyah, seringkali dijadikan panduan oleh banyak artis angkatan 80-an dan 90-an untuk meneruskan kehidupan mereka, baik dalam kerjaya mahupun peribadi.
“Malah, untuk hal hal penting seperti berkahwin atau bercerai sekalipun, mereka akan menjadikan Bahyah sebagai rujukan terlebih dahulu.
“Menariknya hubungan mereka apabila walaupun Bahyah seorang wartawan dan mereka artis, Bahyah tidak akan sesekali menulis tanpa kebenaran nara sumbernya.
“Apa yang menjadi rahsia, kekal sebagai rahsia dan beliau hanya akan menulis apa yang boleh ditulis. Selebihnya ia menjadi rahsia beliau dan artis itu sendiri, justeru Bahyah banyak menyimpan rahsia ‘besar’ sekian banyak nama-nama tersohor negara ketika hayatnya,” kata Tengku Khalidah.
Antara artis yang paling dekat dengan Bahyah adalah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Sharifah Aini, Uji Rashid dan ramai lagi legenda di bidang tersebut.
Malah, rumah kediaman BAM dan suaminya, Allahyarham Ahmad Idris (ABI) di Jalan Enggang, Keramat Kuala Lumpur seringkali menjadi persinggahan sementara kepada banyak artis apabila ditimpa masalah peribadi.
Ini termasuklah ketika Allahyarham Datuk Sharifah Aini berhadapan dengan masalah rumah tangganya bersama dengan suami, Ali Bakar, Bam menjadi ‘bahu’ yang paling akrab untuk bersandar.
Selain itu, Bahyah adalah antara satu-satunya wartawan hiburan yang diberi peluang menziarah Allahyarham Sudirman ketika lagenda itu berada dalam keadaan nazak sebelum meninggal dunia pada Februari 1992. – MalaysiaGazette