KULAI – Menjelang tiga hari umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, seorang remaja lelaki kehilangan ibunya yang maut dalam satu kemalangan di Kulai awal pagi ini.
Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu remaja itu dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok penghadang jalan berhampiran landasan kereta api Sengkang.
Mangsa, Rapiah Mohammad, 46, penumpang hadapan kereta jenis Proton Saga dan anaknya yang cedera parah itu berasal dari Felda Palong 1, Gemas, Negeri Sembilan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Vickram anak Nawar berkata, maklumat berhubung kemalangan itu diterima pihaknya pada pukul 7.45 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Tambahnya, sejurus sampai pihaknya mengeluarkan ibu dan anak itu daripada kereta sebelum dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette.