Home Akhbar Cina Sin Tian kecundang dalam pemilihan Dong Zong

Sin Tian kecundang dalam pemilihan Dong Zong

Dong Zong
KUALA LUMPUR – Yap Sin Tian dan Chow Siew Hon yang disingkirkan daripada Barisan kepimpinan pusat Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 2015 gagal melakukan percubaan untuk kembali kepada organisasi pendidikan Cina itu.
Dalam pemilihan yang dilakukan dalam Dong Zong Kuala Lumpur dan Selangor pada Sabtu, Sin Tian dan Siew Hon serta calon-calon yang dicadangkan mereka gagal merampas sebarang tempat dalam 45 jawatan ahli jawatankuasa yang dipertandingkan.
Keadaan itu juga bermakna Sin Tian yang menyandang jawatan pengerusi Dong Zong Kuala Lumpur dan Selangor juga gagal mempertahankan jawatannya.
Sin Tian dan Siew Hon bertanding atas panji “menyelamatkan pendidikan Cina” menentang pencabarnya yang diketuai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Tinggi Tsun Jin Kuala Lumpur, Cai Qing Wen.
Pencabar Sin Tian dikenali sebagai pasukan penyatuan yang menunjukkan hasrat mereka untuk menyatukan semula Dong Zong yang berpecah pada 2015.
Pada 2015, pelbagai insiden tidak diingini termasuk kes mahkamah dalam Dong Zong berakhir dengan penyingkiran Sin Tian dan Siew Hon daripada Dong Zong pusat.
Vincent Lau dari Sarawak telah menggantikan Sin Tian sebagai Pengerusi Dong Zong dan menyandang jawatan itu sehingga sekarang. – MalaysiaGazette