
KUALA LUMPUR – Persaingan sengit dalam bidang perubatan telah mendorong 500 buah klinik biasa menggulung tikar dalam tempoh dua tahun, malahan ada doktor yang memilih untuk bertukar kerjaya.
Presiden Persatuan Prubatan Malaysia (MMA), Dr Ravindran R. Naidu berkata, daripada 7,000 doktor biasa yang terdapat di Malaysia, sebanyak 60 peratus gagal memperoleh pendapatan yang baik, 20 peratus menerima pendapatan yang teruk, dan hanya 15 peratus yang mempunyai pendapatan lumayan.
Katanya, pendapatan yang sangat teruk berlaku apabila sesebuah klinik menerima kurang daripada 15 pesakit sehari.
“Persaingan memang sengit sehingga jumlah pesakit yang datang mendapat rawatan gagal menampung kos operasi klinik,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurutnya lagi, keadaan ekonomi global termasuk kelemahan ringgit turut menyebabkan kos perubatan meningkat.
“Kutipan sepatutnya tidak bergantung kepada doktor tetapi ia tertakluk kepada kuasa pasaran.
“Malangnya, kos ubat-ubatan, rawatan dan kepingan sinaran X telah meningkat dan kami juga terpaksa menaikkan harga,” katanya.
Menurutnya lagi, masalah utama yang berlaku adalah semakin graduan perubatan dilahirkan tetapi kekurangan hospital awam yang menyediakan latihan dan peluang kerjaya buat mereka.
“Jumlah hospital tidak bertambah sedangkan populasi dan graduan perubatan semakin meningkat.
“Keadaan ini menyebabkan ada graduan yang terpaksa menunggu lapan atau sembilan bulan, malahan setahun untuk menjadi doktor pelatih di hospital,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 5,000 graduan perubatan dilahirkan setiap tahun di mana 1,000 daripadanya adalah dari institusi pendidikan luar negara.
Walaupun begitu, Malaysia berdepan kekurangan doktor pakar kerana daripada 45,000 doktor yang ada, hanya 2,000 orang adalah doktor pakar.
“Kerajaan menyediaan 1,000 peluang setiap tahun untuk doktor biasa melanjutkan pengajian untuk menjadi doktor pakar. Jumlah ini adalah tidak mencukupi,” kata Dr. Ravindran.
Katanya, kegagalan hospital kerajaan untuk menyerap lebih banyak doktor dan menyediakan jawatan kekal buat mereka akan memyebabkan lebih ramai doktor beralih ke sektor swasta.
“Lebih banyak hospital perlu dibina untuk menggaji lebih banyak doktor.
“Memandangkan kerajaan gagal mengawal jumlah pengambilan pelajar perubatan oleh institusi pengajian tinggi swasta, maka cara terbaik ialah meminta institusi berkenaan membina hospital sendiri untuk melatih pelajar mereka,” katanya. – MalaysiaGazette