Home Ekonomi RHB-AMMB: Tepat pada masa tapi bukan mudah dilaksanakan

RHB-AMMB: Tepat pada masa tapi bukan mudah dilaksanakan

KUALA LUMPUR – Penggabungan RHB Bank Bhd. dan AMMB Holdings Bhd. adalah tepat pada masanya mengikut pernilaian kumpulan perbankan tersebut, demikian menurut Pengerusi Permodalan Nasional Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Katanya, melihat kepada pernilaian yang diberikan iaitu sekali ganda tempahan, ia merupakan masa paling sesuai untuk dilakukan penggabungan.

Namun melihat kepada saiz kedua-dua kumpulan perbankan yang agak besar itu, Abdul Wahid berpendapat, tugas untuk menggabungkannya adalah sesuatu yang tidak mudah.

“Jika anda lihat kepada saiz kedua-dua entiti itu, mereka agak besar. Jadi cabarannya adalah bagaimana entiti yang telah digabungkan tadi mampu menguruskan pertindihan dari segi sumber termasuk rangkaian cawangan, kakitangan dan sistem,” katanya semasa membentangkan prestasi PNB bagi setengah tahun 2017 serta mengumumkan agihan pendapatan ASN 2 dan ASD di sini hari ini.

Pada awal bulan lalu, Bank Negara Malaysia telah memberi kelulusan kepada dua kumpulan perbankan itu untuk memulakan rundingan penggabungan yang sekiranya berjaya akan menjadikannya entiti perbankan keempat terbesar dari segi aset di Malaysia selepas Maybank, Kumpulan CIMB dan Public Bank Bhd.

Dalam pada itu, PNB mencatatkan prestasi pertumbuhan mampan dengan Aset di Bawah Pengurusan (AUM) meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.1 peratus kepada RM265.6 bilion.

Manakala Pendapatan Bersih pro forma yang disatukan meningkat sebanyak 18.2 peratus kepada RM6.7 bilion.

Menurut Abdul Wahid, prestasi ekonomi dan pasaran ekuiti yang semakin baik telah membantu PNB mencatatkan prestasi yang lebih kukuh.

Manakala pulangan aset pula dijangka lebih baik pada tahun ini berbanding 5.9 peratus pada tahun lepas dan 6.4 peratus (2015).

“Saya yakin pulangan aset tahun ini lebih baik disokong oleh prestasi lebih baik pendapatan korporat,” katanya lagi.

Tambahnya pertumbuhan mampan dan momentum kukuh PNb adalah hasil pelaksanaan Pelan Strategik STRIVE-15.-MalaysiaGazette