Home Nasional Kena tindakan jika guna lorong kecemasan – PLUS

Kena tindakan jika guna lorong kecemasan – PLUS

PETALING JAYA – Jangan menggunakan lorong kecemasan kerana anda bakal menerima tindakan pihak berkuasa. Itu ingatan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kepada semua pengguna lebuh raya itu sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi berkata, PLUS memiliki 200 kamera litar tertutup di sepanjang lebuh raya itu, akan merakam kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan serta melakukan kesalahan lalu lintas yang lain.

Menurut beliau, maklumat kenderaan itu kemudiannya akan diserahkan kepada polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk tindakan selanjutnya.

“Lorong kecemasan tidak boleh disalahgunakan. Lantaran itu patuhi arahan lalu lintas demi keselamatan semua pengguna,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Mohammad Fuad berkata, pengguna yang mengalami masalah kenderaan atau berlaku kemalangan di sepanjang lebuh raya yang dikendalikannya diminta menghubungi syarikat berkenaan bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, PLUS menetapkan tempoh masa 20 minit untuk waktu menunggu selepas menerima panggilan jika kenderaan penyelenggaraan tidak menghadapi gangguan untuk tiba ke lokasi.

Untuk lebih mudah, pengguna dicadangkan memuat naik aplikasi PLUS Mobile yang mana PLUS telah menambah satu butang SOS yang memudahkan pengguna menerima bantuan.

Katanya, sebanyak 561 kes kemalangan direkodkan di lebuh raya berkenaan sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu.

Jumlah itu, menurut Mohammad Fuad merosot 8.9 peratus berbanding 616 kes pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette