Home Akhbar Cina Tiada siapa dapat nafi hak bertanding Mei Fun di Raub

Tiada siapa dapat nafi hak bertanding Mei Fun di Raub

Chew Mei Fun,
RAUB – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa kerusi Parlimen Raub di Pahang adalah milik MCA dan mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak boleh menafikan hak Datin Paduka Chew Mei Fun untuk bertanding di situ.
Mei Fun merupakan Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang direstui MCA untuk bertanding di kerusi Parlimen Raub yang dimenangi calon DAP pada 2013.
Tiong Lai memberitahu, ahli-ahli MCA tidak perlu bimbang dengan apa jua khabar angin mengenai calon BN di Raub kerana kerusi Parlimen itu milik MCA selagi parti itu tidak berhasrat bertukar kerusi dengan UMNO.
Menurutnya, MCA mahu bertanding di Raub kerana parti itu sudah lama berkhidmat di situ dan mendapat sokongan penduduk tempatan.
“Mengenai khabar angin bahawa UMNO tidak mahu Mei Fun bertanding di Raub, ini khabar angin yang tidak tepat.
“Ini hanya hasil orang tertentu yang menggoreng isu. Tidak perlu bimbang kerana MCA mempunyai rekod perkhidmatan yang baik di Raub,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.
  Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk menghantar wakil UMNO untuk bertanding di kerusi Parlimen Raub dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Ariff Sabri Abdul Aziz yang bertanding atas panji DAP memenangi kerusi Parlimen Raub dengan majoriti 2,814 undi pada Pilihan Raya 2013.
Ditanya mengenai tempoh perkhidmatan Mei Fun dalam Dewan Negara yang tamat pada 24 Jun sekali gus perlu melepaskan jawatan timbalan menteri, Tiong Lai berkata, keadaan itu akan membolehkan Naib Presiden MCA itu mempunyai lebih banyak masa di Raub.
“Ini merupakan perkara yang baik buat orang Raub,” kata Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong.
Menurut Tiong Lai lagi, beliau berharap Raub yang berjiran dengan Bentong dapat mempunyai kemajuan yang baik pada masa depan. – MalaysiaGazette