PAKISTAN – Lori tangki minyak yang terbalik dan meletup di Pakistan semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 139 orang dan mencederakan berpulug-puluh orang.
Tragedi awal pagi yang mengerikan itu berlaku beberapa jam sebelum Pakistan menyambut Aidilfitri.
Ketika insiden berlaku kapal tangki itu membawa 40,000 liter bahan api, terbalik di lebuh raya utama semasa perjalanan dari Karachi ke Lahore, berhampiran bandar Ahmedpur Timur di wilayah Punjab.
Punca nahas masih belum diketahui tetapi beberapa saksi mendakwa tayar lori tangki itu meletup pada awalnya, kata Ketua polis wilayah itu, Raja Riffat.
“Ketika kejadian, penduduk kampung Ramzanpur Joya bergegas ke tempat tersebut dengan baldi dan sebilangan besar orang menaiki motor datang untuk mengaup minyak yang tumpah.
“10 minit kemudian tangki meletup dengan bebola api yang besar dan menyambar penduduk yang sedang mengaup minyak.
“Bagaimana kebakaran berlaku tidak diketahui,” katanya.
Mayat-mayat bergelimpangan di pinggir jalan, puluhan motosikal dan kereta terbakar dan pelbagai peralatan dapur, periuk dan baldi yang dibawa mangsa untuk mengumpul petrol kelihatan hangus.
Kejadian itu disaksikan oleh penduduk kampung dan keluarga-keluarga mangsa dari ladang berdekatan dengan linangan air mata.
“Sungguh malang hari ini,” menurut seorang wanita yang memberitahu kebanyakan mangsa mempunyai pertalian persaudaraan dengan penduduk kampung. – MalaysiaGazette