Home Utama Apa salahnya berdoa – Kamarudin Meranun

Apa salahnya berdoa – Kamarudin Meranun

Kamarudin Meranun

KUALA LUMPUR – Datuk Kamarudin Meranun akan melakukan perkara sama dilakukan juruterbang AirAsia X yang meminta penumpang berdoa ketika memutuskan untuk berpatah balik ke Perth, Australia setelah pesawat kendaliannya mengalami masalah teknikal.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X itu menyatakan sokongan terhadap tindakan jurterbang tersebut walaupun mendapat kritikan daripada Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim.

Ini merupakan reaksi Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X terhadap kritikan Zaid Ibrahim dalam akaun Twitternya bahawa beliau lebih suka juruterbang tidak memberitahunya ketika berada di ambang maut.

Zaid berkata: “Jika AirAsia berminat kepada doa, ambil imam dan paderi sebenar,”.

Menurut Kamarudin, dalam mana-mana agama adalah tidak salah untuk berdoa khususnya ketika seseorang berada dalam kesusahan dengan meminta pertolongan daripada tuhan ketika mereka melakukan apa sahaja yang terdaya.

“Membuat kenyataan adalah mudah apabila anda telah selamat berada di darat.

“Tidak mudah mengendalikan keadaan seperti ini tetapi objektifnya adalah jelas… untuk mendaratkan pesawat dengan selamat dan memastikan semua yang berada di dalamnya selamat dan Alhamdulillah mereka berjaya melakukannya,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Pesawat Airbus, A330 yang menuju ke Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal selepas  90 minit berlepas pada Ahad lalu dengan salah seorang penumpang penerbangan D7237 menggambarkan pesawat itu bergegar seperti mesin basuh.

Pesawat tersebut selamat mendarat di lapangan terbang Perth.

Kamarudin menambah, juruterbang berada dalam keadaan tenang serta terkawal dan bagi seorang yang beriman dia meminta setiap orang berdoa dengan beliau ketika menerbangkan pesawat tersebut ke Perth dengan selamat.

“Saya akan membuat perkara yang sama.

“Sebagai individu dan pengurusan dan pemegang saham AirAsia, saya memihak kepada juruterbang dan pasukannya,” katanya.

Ketua PeGawai Eksekutif itu berkata, kita sepatutnya bersyukur kerana semua orang selamat dan kini menunggu hasil siasatan penuh oleh para pengawal selia. – MalaysiaGazette